February 21, 2009 by admin

HUSAM Shuhaimi Waksa menunjukkan kek keju yang mula dijual di Pulau Pinang dan akan dipasarkan dibeberapa negeri lain.
PULAU PINANG 20 Feb. – Husam Waksa Sdn. Bhd., (HusamWaksa), syarikat pengeluar kek keju cawan bumiputera yang pertama di negara ini, berhasrat meluaskan perniagaan ke seluruh negara sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Isa Al-Husam Shuhaimi Waksa berkata, peluasan itu dibuat berikutan sasaran jualan pihak syarikat mencapai 100,000 kotak untuk penggal pertama tahun ini.
Beliau berkata, Isa Al-Husam Shuhaimi Waksa berkata, produk HusamWaksa didatangkan dalam bentuk cawan dan boleh dinikmati oleh sesiapa dan di mana sahaja kerana ia dijual pada harga yang berpatutan iaitu RM4.90 secawan berbanding produk pesaing yang berharga lebih RM6 secawan.
Katanya, HusamWaksa juga menghasilkan kek keju berkualiti tinggi kerana hampir keseluruhan keknya setanding dengan produk yang dihidangkan di kafe ternama seperti Secret Recipe, Starbucks, hotel mahu pun restoran.
Beliau mendakwa terdapat kek keju di pasaran sekarang yang menggunakan gelatin dalam ramuannya dan pada masa sama ada juga pengeluar yang mendakwa produk mereka sebagai kek keju berkrim sedangkan ia sebenarnya adalah kek span.
”Kek keju HusamWaksa ini menggunakan adunan resipi khas yang dicipta sendiri bagi memastikan rasa serta kualitinya memenuhi cita rasa tempatan selain diadun supaya tidak memuakkan sesiapa yang memakannya.
”Proses penyelidikan dan pembangunan ke atas produk ini memakan masa lebih tiga bulan dan hasilnya kami telah memperoleh 20 resipi berbeza, namun buat masa ini syarikat mengeluarkan tiga perisa terlebih dahulu iaitu coklat, strawberi serta blueberry.
”Dulu, apabila hendak makan kek keju kita kena pergi ke kafe-kafe tetapi dengan produk kami, kek keju boleh dinikmati di mana sahaja sebab ia dibungkus dalam cawan plastik beserta sudu kecil, macam makan aiskrim, mudah hendak makan” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kek Keju HusamWaksa yang seberat 70 gram setiap cawan dihasilkan menggunakan teknik sejuk beku melibatkan suhu -18°C dan mempunyai jangka hayat selama setahun serta mendapat kelulusan pihak berkuasan berkaitan.
Isa Al-Husam berkata, kek keju keluaran syarikatnya itu diharap dapat mewujudkan fenomena baru di negara ini berbanding minat orang ramai yang hanya tertumpu kepada kek biasa menikmatinya.
”Produk seumpama ini mendapat sambutan menggalakkan di beberapa negara maju seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara lain di Eropah dan saya yakin ia dapat diterima di negara ini memandangkan gaya hidup masyarakat sudah berubah dan bercita rasa tinggi.
”Berdasarkan maklum balas, melalui promosi yang betul dan berkesan, kek keju ini diyakini laris di pasaran tempatan mahu pun antarabangsa,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Isa Al-Husam berkata, syarikat itu telah merangka pelan bersepadu untuk memasuki pasaran seluruh negara dalam masa terdekat dengan menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan muda menerusi pelan perniagaan ala francais atau perkongsian pintar.
Katanya, syarikat itu menawarkan pulangan keuntungan yang tinggi dengan modal permulaan serendah RM1,570 kepada mana-mana individu atau syarikat yang berminat selain mendapat tunjuk ajar serta latihan.
”Dengan modal RM1,570, usahawan akan dibekalkan dengan sebuah peti ais sejuk beku, material produk, stok pertama serta beberapa barangan promosi lain untuk memulakan perniagaan dan juga aspek pengurusan,” kata beliau.
Katanya, buat masa ini, kek keju HusamWaksa hanya boleh di dapati di kafe-kafe dan restoran terpilih, pasar raya dan kedai serbaneka tertentu di Pulau Pinang dan lebih ramai usahawan diperlukan bagi meluaskan pemasaran produk berkenaan.
Untuk maklumat mengenai peluang perniagaan sila hubungi talian 017-7718087 atau email : alhoosam82@yahoo.com.
_____________________________________________________________________________________________
Kek keju Husamwaksa
Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my
Kek keju yang dibungkus kemas itu bukan saja lazat dan murah, malah ia tahan selama setahun jika disimpan pada suhu -18 darjah Celcius.

KEK keju Husamwaksa boleh didapati dalam tiga perisa iaitu coklat, strawberi dan bluberi.
MENJELANG hari Kekasih, mungkin ramai yang terfikir untuk memberikan hadiah paling istimewa buat insan tersayang. Mencari hadiah yang mahal atau bermakna? Meriah atau disukai?
Di sebalik pelbagai cadangan atau idea, Mohd Muhsin Abdul Wahab, 23, percaya kepada pemberian yang ikhlas walaupun hanya sepotong kek. “Kek Husamwaksa adalah makanan kegemaran teman wanita saya, Nurul, dan sejak akhir-akhir ini dia sangat berminat dengan kek keju Husamwaksa,” katanya sambil menghulurkan sepotong kek keju Husamwaksa cita rasa coklat.
Kek tersebut dibungkus kemas dalam cawan plastik berserta sudu kecil. Di atasnya terdapat kadbod yang memaparkan semua maklumat mengenai kek keju. Muhsin memberitahu, kek keju itu adalah antara kek yang paling sedap dan pernah dimakan serta diperkenalkan oleh Nurul, 20.
“Ia halal dan buatan Malaysia, tetapi rasa kejunya yang asli adalah tarikan utama,” kata Muhsin.
Muhsin berkata, rasanya yang asli dan berkrim adalah antara sebab ia menjadi kek pilihan Nurul yang juga menjadi hadiah untuk kekasihnya pada Hari Kekasih tahun ini.
Apakah pandangan Nurul menerima hadiah yang ringkas itu? “Muhsin seorang yang bijak. Walaupun hadiah ini sangat biasa, tetapi oleh kerana ia adalah kek kegemaran, saya tidak kisah,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini. Kek keju Husamwaksa juga mempunyai perasa lain iaitu strawberi dan bluberi.

KEK keju Husamwaksa bukan saja enak dimakan malah dijadikan pengikat kasih sayang.
Biarpun pernah menikmati kek keju dari pelbagai restoran dan kafe popular, Nurul berkata, harga kek keju Husamwaksa berpatutan dan sangat berbaloi apabila menikmatinya. “Baguslah ada kek keju buatan Malaysia yang murah dan mudah dibawa.”
Sambil memperkenalkan pengusaha kek keju, Isa Al Husam Shuhaimi, 27, kata Nurul:
“Kami kawan biasa sahaja, tetapi sejak akhir-akhir disebabkan saya selalu tempah kek keju, kami menjadi kawan baik”.
Lelaki yang lebih mesra dengan panggilan Husam itu mahu kek keju yang semakin digilai di kalangan rakannya menembusi pasaran tempatan.
“Ini memandangkan kek keju adalah pasaran yang baru dan biasanya orang ramai hanya berminat kepada kek biasa. Tetapi kek keju asli yang berkrim ini tentu akan menjadi satu pilihan unik,” katanya.
Kek tersebut yang disimpan pada suhu -18 darjah Celcius boleh dimakan selepas empat hingga enam jam ia dikeluarkan dari peti ais. Lebih istimewa, kek keju itu tahan sehingga setahun.
“Kami mempunyai sijil dan kelulusan organisasi pemakanan yang meluluskannya. Ia juga sesuai untuk pengamal makanan yang berasaskan sayur-sayuran,” tambah Husam.
Sungguhpun masih pada fasa awal, Husam memberitahu, respons yang diperoleh amat memberangsangkan.
Buat masa ini, kek keju Husamwaksa hanya boleh didapati di kafe-kafe dan restoran, pasar raya dan kedai serbaneka tertentu, di Pulau Pinang seperti di kedai Happy Mart dan Sunshine Store. Selain itu, ia juga boleh diperoleh di beberapa tempat lain di seluruh negara menerusi pengedarnya.
Sebagai memberi peluang untuk usahawan muda menceburi bidang perniagaan dan melebarkan perniagaanya di lokasi-lokasi lain, Husam mempelawa mereka yang berminat.
Maklumat lanjut mengenai program perniagaan kek keju Husamwaksa, boleh menghubungi Husam di talian 04-2639215 atau 012-5611978 (Hasnul).